Assalamualaikum.
Langkah pertama yang mesti dilaksanakan oleh semua kepimpinan pribumi Melayu yang kini berpecah-belah ialah dengan mendukung satu matlamat bersama.
Matlamat yang dipersetujui SEMUA tanpa ada sebab untuk menolaknya.
Kali terakhir pribumi Melayu bermuafakat ialah sewaktu menentang Malayan Union.
Kejayaan itu telah mengembalikan nama Persekutuan Tanah Melayu.
Identiti kuat Persekutuan Tanah Melayu telah membuahkan hasil perjuangan terunggul iaitu sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Kini, pribumi Melayu diancam lagi.
Masalahnya, dahulu kita ada Tanah Melayu. Ada identiti. Ada jati diri. Kini sudah tiada.
Kini yang ada cuma Semenanjung. Tidak ada kekuataan pada nama Semenanjung.
Semenanjung yang berpecah mengikut negeri. Berpecah mengikut parti.
Pribumi Sabah dan Sarawak telah sedar. Mereka telah bangkit menuntut hak mereka.
Sayangnya, pribumi Melayu masih hilang punca. Mengapa?
Masing-masing masih bertahan, menepis dan mengelak serangan demi serangan yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan hak sama rata.
Suara dan tuntutan pribumi Melayu kini dipanggil rasis. Perjanjian yang dipersetujui juga sekarang dilabel rasis.
Justeru, sudah tiba masanya pribumi Semenanjung sedar. Bangkit melawan.
Namun, tidak akan ada kebangkitan tanpa satu matlamat yang dipersetujui semua.
Umpama manusia tanpa nama. Dipanggil tidak diendah. Mungkin menoleh mungkin tidak.
Oleh itu, penulis mencadangkan agar semua kumpulan, gagasan dan kepimpinan pribumi di Semenanjung berikrar dan berusaha mencapai satu matlamat bersama sebagai landasan ke arah perjuangan yang lebih besar.
Matlamat bersama yang saya maksudkan ialah
Kembalikan semula nama Tanah Melayu.
Mulakan gerak kerja menuntut kembali kekuatan identiti yang bakal membina semula jati diri pribumi.
Jelas sekali, dalam keadaan tergesa-gesa hendak menggabungkan Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu, pemimpin Melayu dahulu tidak menjangkakan bahawa pertukaran nama Tanah Melayu kepada Semenanjung akan membawa kesan perpecahan dan hakisan jati diri kepada pribumi Melayu.
Semoga menjadi kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen dengan berhemah dan tidak melanggar undang-undang negara. Serlahkan kebijaksanaan anda.